Categories
SUKANKINI

Cub Prix: Kasma akui 2018 penuh cabaran

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 17 OGOS: Juara bertahan, Kasma Daniel Kasmayuddin akur saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018 lebih mencabar dalam usahanya mempertahankan gelaran keseluruhan dimenangi pada musim lalu.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu memulakan musim ini dengan bergaya apabila muncul juara pada pusingan pembukaan di Tangkak, Johor.

Namun, terlepas gelaran sama kepada pendahulu ketika ini, Ahmad Afif Amran yang memenangi kedua-dua perlumbaan akhir pada pusingan berikutnya.

Selepas tiga pusingan, Afif kini berada di tangga teratas dengan 70 mata manakala Kasma (kedua) dengan 61 mata diikuti rakan sepasukan Afif, Md Hafiz Nor Azman (ketiga) 29 mata.

Menjelang perlumbaan pusingan keempat di Temerloh, Pahang pada esok dan Ahad ini, Kasma mula mencongak strategi baharu untuk kembali mendominasi perlumbaan seperti mana ketika meraih lima kemenangan daripada tujuh perlumbaan akhir disertai pada tahun lalu.

“Persaingan musim ini sangat sengit jika dibandingkan musim lalu dengan pelumba dan pasukan lain sudah mula mendapat rentak mereka serta mampu menyaingi kelajuan jentera kami.

“Lihat sahaja bagaimana keupayaan Afif untuk mengekori dan memintas saya pada perlumbaan lalu, ” kata Kasma.

Selain Afif, beliau berkata, cabaran sengit juga datang daripada rakan sepasukan, Md Akid Aziz dan Hafiz.

“Jika sebelum ini saya hanya perlu berada di depan dan menjarakkan diri sejauh mungkin dengan pelumba lain dari awal perlumbaan, nampaknya saya perlu mengatur strategi lain selepas ini,” katanya.