Categories
EKONOMI

Eksport Malaysia meningkat kepada 8.7 peratus pada Jun

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Pertumbuhan eksport Malaysia dijangka meningkat kepada 8.7 peratus pada Jun berbanding 3.4 peratus pada Mei walaupun dijangka lembap dengan sambutan Hari Raya.

RAM Ratings berkata permintaan kukuh daripada pasaran eksport utama, seperti yang dilihat daripada peningkatan berterusan dalam aktiviti industri, dijangka menyokong pertumbuhan eksport pada Jun.

“Sejajar dengan peningkatan eksport yang diunjurkan, yang biasanya dengan input yang diimport, pertumbuhan import diunjurkan meningkat kepada 8.1 peratus pada Jun,” menurut Ketua Penyelidikan Kristina Fong dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata aktiviti menambah stok agak berdaya tahan pada masa ini berdasarkan pertumbuhan global yang berterusan, tetapi terdapat sedikit dorongan untuk meningkatkannya dengan ketara pada bulan-bulan akan datang dengan ketidaktentuan mengenai pertikaian perdagangan pada masa ini.

“Secara keseluruhan, lebihan dagangan dijangka mencecah RM11.1 bilion pada bulan tersebut. Liberalisasi import China (menurunkan tarif import ke atas 1,449 produk pengguna) mulai 1 Julai dan seterusnya dijangka menawarkan lebih banyak peluang kepada pengeksport global barangan pengguna.

SUMBER: BERNAMA