Categories
SELANGOR

EXCO mahu masyarakat ambil berat soal kesihatan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 1 OGOS: Masyarakat disarankan mengambil berat tahap kesihatan masing-masing, termasuk membuat ujian saringan awal sebagai langkah pencegahan terhadap penyakit merbahaya.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, setiap penyakit mampu diubati jika pesakit membuat pemeriksaan awal mengenal pasti kesakitan dihadapi.

“Kerajaan Negeri komited bekerjasama dengan badan bukan kerajaan dalam memberi kesedaran, pendedahan dan pendidikan kepada masyarakat berkenaan cara menangani penyakit merbahaya,” katanya kepada SelangorKini.

Kenyataan itu susulan penyakit berjangkit yang sedang kronik melanda negara ini antaranya penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), tibi dan denggi.

Mengulas berkenaan kehadiran pendatang asing yang menjadi punca penyakit berjangkit, beliau berkata, ia merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada masalah itu.

“Masyarakat perlu mendapatkan saringan kesihatan kerana jika seseorang disahkan menghidap penyakit, kita boleh memberi rawatan dan mengawal penyakit itu daripada komplikasi lain yang lebih buruk daripada terus menular,” katanya.