Categories
GLOBAL

Indonesia selamatkan lebih 500 pendaki

MATARAM 1 OGOS: Lebih 500 pendaki dan pemandu arah berjaya dipindahkan dari sebuah gunung berapi Indonesia selepas mereka terperangkap akibat tanah runtuh yang dicetuskan oleh gempa bumi kuat, kata beberapa pegawai semalam.

Bertan-tan batu dan lumpur mengalir turun dari Gunung Rinjani apabila gempa bumi bermagnitud 6.4 itu menggegarkan pulau pelancongan Lombok Ahad lalu, diikuti oleh lebih 100 gempa susulan. Bencana itu menyebabkan sejumlah laluan di gunung berkenaan ter­halang.

Kira-kira 560 pendaki dipercayai terkandas termasuk warga Amerika Syarikat (AS), Perancis, Belanda, Thailand dan Jerman di samping beberapa negara lain, demikian menurut pegawai mencari dan menyelamat.

“Seramai 543 pendaki telah dipindahkan, mereka tiba malam semalam,” kata jurucakap Badan Nasional Pe­ngurusan Bencana (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho kepada agensi berita AFP.

“Terdapat enam orang yang masih tertinggal. Mereka semua sihat dan selamat,” tambahnya.

Para pendaki mula menuruni gunung berapi itu kelmarin selepas beberapa pemandu arah menemui sebuah laluan alternatif yang tidak terjejas akibat gempa bumi.

Kebanyakan pendaki itu tiba di kaki Gunung Rinjani menjelang petang kelmarin, demikian menurut seorang jurucakap agensi mencari dan menyelamat Mataram, I Gusti Lanang Wiswananda.

Mataram adalah bandar utama di Pulau Lombok. Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dalam bencana gempa bumi itu di Lombok, manakala beratus-ratus bangunan musnah termasuk sebuah klinik kesihatan.

Kira-kira 189 pelancong asing, 173 pelancong tempatan dan 181 pemandu arah serta pengangkat barang tiba di kaki gunung itu malam kelmarin, kata Sutopo.

Gunung Rinjani setinggi 3,726 meter dari aras laut merupakan gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia dan popular dalam kalangan pelancong.

SUMBER: AFP