Categories
EKONOMI SELANGOR

Kumpulan Perangsang Selangor catat untung Q2 lebih tinggi

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) mencatat keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM39.43 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2018 berbanding RM35.59 juta setahun sebelumnya.

Keuntungan itu dicapai dengan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM161.28 juta berbanding RM75.95 juta sebelumnya, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Perolehan asas sesaham naik kepada 7.1 sen daripada 6.5 sen sebelum ini.

KPS, anak syarikat cabang pelaburan kerajaan negeri, Kumpulan Darul Ehsan Bhd berkata, hasilnya meningkat lebih dua kali ganda disebabkan sumbangan daripada subsidiari perkilangan baru CPI (Penang) Sdn Bhd dan King Koil Manufacturing West LLC serta sumbangan yang kukuh daripada anak syarikat pembinaan KPS- HCM Sdn Bhd.

Bagi setengah tahun, keuntungannya merosot kepada RM53.64 juta daripada RM56.79 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas walaupun pendapatan meningkat 68.4 peratus kepada RM257.12 juta.

SUMBER: BERNAMA