Categories
EKONOMI SELANGOR

MB: Pencapaian PKNS selama 54 tahun membanggakan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 1 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari memuji Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang sudah banyak mencapai kejayaan selama 54 tahun usia penubuhannya.

Amirudin berkata, antaranya kejayaan itu PKNS berjaya menyiapkan unit perumahan mampu milik luar daripada sasaran Kerajaan Negeri dan mensasarkan ia siap dibina menjelang tahun 2019.

“Namun, belum sampai 2019, jumlah unit yang disiapkan sudah melebihi jumlah sasaran, Kerajaan Negeri amat berbangga dengan pencapaian ini.

“Tahniah dan terima kasih kepada PKNS menjadi antara penyumbang terbesar kepada jumlah unit rumah yang saya nyatakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulangtahun PKNS yang ke 54 tahun di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini.

Selain itu, Amirudin berkata, beliau optimis PKNS dapat melangkah lebih jauh dengan menarik peluang pelaburan dari luar ke Selangor.

“Baru-baru ini, Duta Perancis berkunjung ke pejabat saya bagi meningkatkan lagi pelaburan di Selangor. Antara lain kami membincangkan kerjasama kebudayaan, TVET serta mekanisme yang boleh dipersetujui untuk merealisasikan hasrat Selangor Smart State.

“Ini juga adalah bertepatan dengan projek PKNS yang sedang dilaksanakan iaitu Selangor Cyber Valley,” katanya.

Katanya, sejajar dengan hasrat PKNS bagi membawa “Kemajuan Untuk Rakyat”, Kerajaan Negeri berhasrat PKNS dapat berganding bahu untuk menterjemah hasil kekayaan negeri kepada rakyat secara keseluruhan.

“Kerjasama dan perhubungan sedia ada yang terjalin perlu diperkukuh dalam memastikan rakyat Selangor terus maju dan tidak tertinggal dalam arus pembangunan negeri.

“Kerajaan Negeri juga dengan ini menyokong kuat segala inisiatif positif yang dilaksanakan PKNS demi kemaslahatan rakyat,” katanya.