Categories
SELANGOR

Menunggang kuda terapi terbaik buat autisme

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUTRAJAYA, 17 OGOS: Menunggang kuda adalah terapi terbaik buat kanak-kanak autisme, kata Pengasas Horses of YOUNG, Dr EJ Khew.

Katanya, kajian mendapati aktiviti menunggang kuda mampu menguatkan otot terutamanya bagi individu yang mengalami penyakit terbabit.

“Di Malaysia sendiri, terapi berkuda untuk golongan ini masih belum meluas dan sebab itu pihak kami menggesa ibu-bapa yang mempunyai anak autisme menggunakan peluang ini sebaiknya.

“Kajian juga mendapati kanak-kanak yang membesar dengan haiwan akan menjadi lebih penyayang, bertanggungjawab serta dapat menjadi individu yang lebih positif,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian ‘Animals for YOUNG’ anjuran Horses of YOUNG di IOI City Mall, dan dirasmikan YM Tengku Munazirah Tengku Abdul Samad Shah Al-Haj.

Ia bermula hari ini hingga Ahad, 19 Ogos, terdapat beberapa aktiviti yang disediakan iaitu ‘Hobby Horse Challenge’, kraftangan, dan juga menunggang kuda.

Khew berkata, rata-rata penduduk di negara ini hanya mengetahui kuda digunakan untuk sukan lasak dan juga akktiviti riadah sahaja.

Namun, hakikatnya ia adalah salah satu haiwan yang paling berkesan untuk membantu menguatkan tubuh badan.

“Buktinya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengakui aktiviti menunggang kuda adalah salah satu faktor menyebabkan tubuh badannya masih kuat walaupun mencecah usia 90-an.

“Difahamkan, di negara kita juga sudah mempunyai banyak lokasi yang menyediakan perkhidmatan menunggang kuda, jadi gunalah peluang ini untuk menyihatkan tubuh badan anda,” katanya.