Categories
SELANGOR

Usaha Selangor diiktiraf, bakal dilaksana seluruh negara

OLEH HAFIZAN TAIB

BATU CAVES, 22 OGOS: Skim Peduli Sihat di bawah agenda Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) diperkenalkan Kerajaan Negeri, mendapat pengiktirafan Kerajaan Persekutuan dan akan dilaksanakan di seluruh negara.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, program dikatakan akan dijayakan Kerajaan Persekutuan tahun depan itu membuktikan pendekatan dipraktikkan pentadbiran negeri adalah tepat demi kebaikan semua terutamanya rakyat.

“Ia satu pengiktirafan kepada Kerajaan Negeri apabila salah saru program di bawah IPR akan diangkat ke peringkat nasional.

“Dengan adanya program ini disediakan Kerajaan Persekutuan, kita mungkin akan menambah fasiliti tambahan untuk mempermudahkannya,” katanya kepada media selepas Majlis Kenduri Rakyat DUN Sungai Tua sempena Aidiladha di Kampung Melayu Wira Damai di sini, hari ini.

Amirudin berkata, Kementerian Kesihatan memaklumkan perkara itu kepadanya dan telah mengkaji keberkesanannya seperti mana dilaksanakan Kerajaan Negeri.

“Saya percaya peruntukan bagi program ini akan dimasukkan dalam Belanjawan 2019 nanti,” katanya.

Ketika berucap dalam majlis itu, Amirudin berkata, perubahan pentadbiran di peringkat Persekutuan banyak membawa kebaikan kepada Selangor terutama berkaitan isu penstrukturan bekalan air di negeri itu.

Beliau berkata, sebelum ini Kerajaan Negeri menghadapi kekangan Kerajaan Persekutuan ditadbir Barisan Nasional (BN) yang tidak bersedia menyelesaikan isu berkenaan.

“Perubahan ini memberi banyak manfaat termasuk penstrukturan bekalan air apabila Kerajaan Negeri kini mengambilalih sepenuhnya perkara ini.

“Sebelum ini kita menghadapi pelbagai masalah dan ia berlanjutan sehingga hampir 10 tahun,” katanya.