Categories
GLOBAL

Penduduk Australia kini cecah 25 juta orang

SYDNEY 8 OGOS: Jumlah penduduk Australia mencecah paras 25 juta semalam, hampir sedekad lebih awal berbanding dijangkakan, ketika ia menarik ratusan ribu pendatang setiap tahun, data kerajaan menunjukkan.

Data berkenaan menunjukkan, setiap minit, seorang individu tiba untuk menetap di Australia, mengukuhkan permintaan untuk segala-galanya daripada rumah sehinggalah kereta, sekolah dan hospital serta meningkatkan kekayaan ekonomi negara itu.

Biro Statistik Australia menganggarkan, jumlah populasi negara itu akan mencecah 26 juta orang dalam tempoh tiga tahun, berdasarkan aliran semasa.

Peningkatan pantas dalam jumlah pendatang, mencetuskan perdebatan terhadap impak ekonomi dan sosial berkenaan penghijrahan disebabkan infrastruktur tidak mencukupi menjurus kesesakan bandar sambil pasaran buruh meluas membataskan pertumbuhan gaji.

“Bertahan bermaksud terus melabur dalam infrastruktur. Sebab itulah mengapa kami memiliki satu pelan infrastruktur bernilai A$75 bilion (RM226.96 bilion).

“Perlu ada sokongan yang berkembang dalam populasi,” kata Menteri Kewangan Scott Morrison kepada 3AW Radio semalam, apabila ditanya jika Australia dapat bertahan dengan 25 juta penduduk.

Kejayaan ekonomi Australia dibina daripada penghijrahan dengan lebih satu pertiga penduduknya lahir di luar negara, menurut data bancian terbaharu yang menunjukkan England, China, New Zealand dan India sebagai negara teratas asal pendatang.

Satu kajian berasingan ABS dikeluarkan Jun lalu menunjukkan, penghijrahan luar negara kini mencatat 62 peratus daripada jumlah pertumbuhan populasi keseluruhan. Peningkatan penduduk asal berjumlah 38 peratus.

Namun isu imigresen menjadi topik panas politik ketika kerajaan pakatan tengah-kanan yang memerintah dan pembangkang, Parti Buruh mula berkempen untuk pilihan raya New South Wales (NSW) dijangka Mac tahun depan diikuti pilihan raya umum pada Mei 2019.

Ahli politik nasionalis, Pauline Hanson menyalahkan peningkatan jumlah pendatang terhadap ketidaksamaan meningkat di Australia sementara Senator Dean Smith menjadi anggota kerajaan pertama awal tahun ini yang menggesa satu kajian semula terhadap pertumbuhan populasi.

Smith mempertikaikan, pengambilan pantas pendatang meletakkan tekanan besar terhadap infrastruktur di bandar terbesar negara iaitu Sydney dan Melbourne, didiami majoriti meluas pendatang baharu.

SUMBER: REUTERS