Categories
SELANGOR

Penstrukturan air Selangor hampir selesai

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 OGOS: Isu penstrukturan semula dan pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) kini berada di peringkat terakhir sebelum dimuktamadkan dalam jangka masa terdekat ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kata sepakat itu sudah dicapai dan ia sedang dalam proses dokumentasi yang perlu diselesaikan antara SPLASH, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, kita menganggap perkara ini sudah selesai dan hanya menunggu untuk dimuktamadkan.

“Proses memuktamadkan penstrukturan dan pengambilalihan mengambil masa, kerana ia membabitkan beberapa elemen serta proses yang sangat besar. Jadi kita kena teliti semua,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ulangtahun Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang ke 54 tahun di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, semalam.

Beliau berkata perkara itu memerlukan persetujuan bersama apabila mahu diubah bagi memastikan semua kandungan dalam perjanjian memberi manfaat kepada semua pihak terlibat.

Sementara itu, mengulas kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar mengenai proses penstrukturan dijangka dapat dimuktamadkan 10 Ogos ini.

Amirudin berkata, beliau tidak pasti kerana Kerajaan Negeri hanya menunggu maklum balas daripada semua pihak terlibat dan menjangkakan ia dapat diselesaikan secepat mungkin.

Pada masa sama, Amirudin diminta mengulas mengenai kenaikan tarif air Selangor selepas pengambilalihan SPLASH, beliau berkata, perkara itu tidak menjadi fokus pihaknya.

“Hal itu lambat lagi untuk dibincangkan. Isu terbabit memerlukan penelitian dan sangat pra-matang untuk diumumkan. Lebih baik kita selesaikan isu pengambilalihan ini terlebih dahulu,” katanya.