Categories
GLOBAL

Perancis haramkan bawa telefon pintar di sekolah

PARIS 2 OGOS: Telefon pintar dan tablet diharamkan di seluruh sekolah di Perancis menjelang tahun akademik baharu, selepas satu undang-undang baharu diluluskan Parlimen kelmarin.

Pengharaman melibatkan semua pelajar sehingga berusia 15 tahun itu berkuat kuasa September ini bagi mengekang ‘ketagihan skrin’ dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.

Undang-undang baharu itu sebagai memenuhi janji kempen Presiden Emmanuel Macron, tetapi telah dikritik oleh pembangkang sebagai ‘aksi publisiti’.

Pembangkang menggelar rang undang-undang itu sebagai ‘kosmetik’ dan berkata tidak akan membawa sebarang kesan dalam kehidupan sebenar.

Di bawah undang-undang baharu, semua gajet berkaitan perlu ditinggalkan di rumah atau dimatikan sehingga akhir persekolahan.

Sekolah boleh membuat pengecualian untuk ‘penggunaan pedagogi’, aktiviti kokurikulum atau bagi murid orang kelainan upaya.

Sekolah-sekolah tinggi pula boleh memutuskan secara individu sama ada untuk mengenakan larangan sebahagian atau keseluruhan terhadap pengha­raman gajet berkenaan.

Undang-undang sebelum ini yang diluluskan pada tahun 2010 telah pun melarang penggunaan telefon pintar di dalam kelas.

Menteri Pendidikan, Jean-Michel Blanquer berkata, undang-undang awal tidak dikuatkuasakan kerana terdapat kelemahan, manakala undang-undang baharu bertujuan membawa perubahan kepada Perancis pada abad ke-21.

“Larangan itu menghantar mesej kepada rakyat Perancis serta negara-negara lain di seluruh dunia,” katanya.

SUMBER: AFP