Categories
NASIONAL

PM: Najib perlu kemuka bukti nafi bayaran GST tidak hilang

OLEH HAFIZAN TAIB

SERDANG, 12 OGOS: Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, perlu mengemukakan bukti bagi menafikan dakwaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkaitan bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM18 bilion dilaporkan hilang.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Najib tidak boleh sekadar menafikannya dan membuktikan bayaran balik GST dilakukan dengan betul.

“Tidak boleh nafi sahaja, Najib kata lain dan Lim pula kata lain.

“Bukti perlu ditunjukkan bayaran balik GST itu tidak hilang,” katanya kepada media selepas melawat pameran seni, Tun M: A Forever Legacy di Universiti Perdana, Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas penafian Najib mengenai kenyataan Lim merujuk audit Jabatan Kastam Diraja Malaysia menghadapi kekurangan RM18 bilion bagi bayaran balik GST.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, kerajaan hari ini menghadapi masalah kewangan akibat perlu membayar segala hutang ditinggalkan pentadbiran Barisan Nasional (BN) diketuai Najib.

Beliau berkata, kerajaan diterajuinya kini mengamalkan pendekatan berbeza dan langkah berjimat cermat bagi mengatasi masalah berkenaan.

“Kerajaan sekarang perlu membayar hutang ditinggal pentadbiran BN dan akibatnya kita hadapi masalah kewangan.

“Kita tidak seperti kerajaan dahulu dan curi seperti Najib,” katanya.

Beliau berkata, bantuan kepada rakyat juga tidak dapat dilaksanakan seperti mana dilakukan BN sebelumnya akibat masalah berkenaan.

“Rakyat mengharapkan kita beri bantuan duit tetapi sekarang kita tidak boleh macam itu akibat kekurangan wang. Dahulu Najib sesuka hati beri,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Universiti Perdana, Norpisah Mat Isa dan isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.