Categories
NASIONAL

PPIM mahu KPDNKK siasat penarik kereta samseng

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 OGOS: Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berang selepas menyaksikan kejadian seorang penarik kereta menahan kenderaan di hentian lampu isyarat, di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Kejadian kira-kira jam 1.30 petang semalam yang sempat dirakam itu mendorong beliau campur tangan apabila melihat tindakan penarik kereta yang disifatkannya kurang ajar dan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Bagaimanapun, dalam video dimuat naik TV.PPIM yang mencecah 62,000 tontonan itu menyaksikan penarik kereta terbabir beralah apabila dimarahi Nadzim.

Mengulas lanjut kejadian itu, katanya, pihak bertanggungjawab seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)dan polis harus menyiasat tindakan itu, termasuk bank yang bertindak sesuka hati membelakangkan SOP.

“Pembantu saya perasan sebuah kereta seperti hendak menghentikan kereta lain, macam kejar mengejar dan ada dua lelaki turun serta ketuk pintu tetapi pemandu Avanza itu tidak, cuma tunjuk slip bayaran.

“Saya turun tanya mana surat, dia kata surat tengah datang. Saya kata awak tak boleh tahan orang begitu sahaja tambah lagi di lampu isyarat. Ini yang saya kata kurang ajar dan tidak terlatih.

“Adakah ini SOP dan saya pun nak bertanya kepada KPDNKK, ada tak SOP, latihan atau hanya bagi kad sahaja? Senario ini cukup merisaukan. Bagaimana kalau mereka yang tahan ini perompak?,” katanya ketika mengulas itu.

Pada masa sama, Nadzim turut kesal dengan tindakan bank yang sewenang-wenangnya memberi butiran pemilik kenderaaan kepada pihak ketiga dan tidak menitikberatkan prosedur yang sepatutnya dipatuhi penarik kereta.

Beliau juga menyeru KPDNKK dan polis menjalankan siasatan terhadap isu itu sehingga ke lubang cacing kerana ia tidak sepatutnya berlaku.

“Modus operandi juga merisaukan apabila data peribadi pemilik kenderaan boleh diperolehi dengan begitu mudah oleh pihak ketiga.

“Kaedah mereka ini adalah mendapatkan nombor kereta dalam komputer. Saya nak persoalkan, bank mana buat kerja macam ini yang memberi nombor kereta, butiran pemilik kereta? Kerja gila apa tahan dahulu baru surat. Kalau tahan juga ini adalah rompakan,” katanya.