Categories
BERITA UTAMA PELANCONGAN SELANGOR

Tarik 7.5 juta pelancong ke Selangor, Kerajaan Negeri sedia tambah keperluan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 1 OGOS: Kerajaan Negeri komited menambah mekanisme tambahan supaya sasaran mencapai 7.5 juta pelancong datang ke Selangor, berjaya dicapai.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, antara mekanisme terbaharu yang sedang dibincangkan adalah penambahan tempat penginapan (hotel) terutama di kawasan lokaliti seperti Utara Selangor dan Kuala Selangor.

“Penambahan hotel itu memerlukan kajian kerana ia melibatkan pelaburan yang besar daripada pelabur tempatan dan Kerajaan Negeri.

“Bagaimanapun, saya dan beberapa pemain industri di Selangor memang sedang berbincang supaya inisiatif berkenaan dapat dicapai serta kehadiran pelancong berjaya ditingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ulangtahun Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang ke 54 tahun di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini.

Amirudin berkata, antara mekanisme lain bagi menarik pelancong hadir ke negeri ini adalah dengan cara promosi.

“Kebanyakan pelancong yang masuk kebetulan sebahagian besarnya melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), jadi kita akan mengambil kesempatan ketibaan mereka disambut dan dibawa ke sebahagian lokasi lokaliti di Selangor.

“Di samping itu, kita akan menggiatkan promosi beberapa aset pelancongan Selangor seperti Sky Mirror dan Kelip-Kelip Kuala Selangor yang kian menjadi perhatian dunia pada masa kini,” katanya.

Amirudin berkata, beliau yakin aset pelancongan itu bakal menjadi tarikan utama untuk pelancong hadir ke negeri ini pada masa depan.

Terdahulu, EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu serta Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari mensasarkan kira-kira 7.5 juta pelancong domestik dan antarabangsa akan ke negeri ini.