Categories
SELANGOR

Komited naiktaraf Perpustakaan Kerling, pastikan keselesaan pengunjung

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA KUBU BHARU, 25 SEPT: Kerajaan Negeri komited memastikan agenda menaiktaraf Perpustakaan Kerling, di sini, dapat dilaksanakan bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.

Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong berkata, struktur bangunan perpustakaan itu mengalami beberapa kerosakan memandangkan ia dibina sejak 1980-an.

Katanya, perpustakaan berkenaan memerlukan pembaharuan dan penambahbaikan berdasarkan keadaan semasa bagi manfaat khususnya terhadap komuniti setempat.

“Kemudahan perpustakaan masih diperlukan pada masa sekarang kerana ia terletak di kawasan desa yang menjadi tumpuan orang ramai termasuk golongan remaja.

“Masih ramai yang ingin meminjam buku malahan perpustakaan sudah menyediakan perkhidmatan internet percuma dan menjadi tempat pelajar mengulang kaji pelajaran,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Terdahulu, beliau mengulas cadangan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) untuk menaiktaraf Perpustakaan Kerling yang tidak dapat dilaksanakan ekoran masalah status hak tanah milik Kementerian Kerja Raya.

Kee Hiong berkata, PPAS bercadang memohon tanah itu untuk tapak perpustakaan berkenaan.

“Maka, saya dan Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli (Tengku Zulpuri Shah Raja Puji) akan membantu menyelesaikan isu status tanah ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, PPAS turut membincangkan peruntukan berjumlah RM3 juta bagi kerja menaiktaraf Perpustakaan Syed Mashor, tahun ini.

“Perpustakaan ini adalah yang terawal dibina di daerah ini dan dibuka sejak 25 tahun lalu serta memiliki lebih 100,000 naskah bahan ilmiah.

“Perhatian sewajarnya perlu diberi dalam hal ini bagi memupuk minat membaca, selain menjadi lokasi penganjuran aktiviti kemasyarakatan berbentuk pendidikan,” katanya.