Categories
SELANGOR

Maria Chin lancar pejabat bergerak

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 SEPT: Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah melancarkan pejabat bergerak untuk kemudahan penduduk di kawasan berkenaan membuat aduan.

Katanya, pejabat bergerak yang bakal beroperasi pada Oktober itu akan dikendalikan sukarelawannya dengan rondaan di tiga lokasi iaitu Seri Setia, Bukit Gasing dan Taman Medan.

“Ia akan diadakan dua kali sebulan di satu-satu kawasan dan kemudian akan membuat rondaan ke lokasi lain pula.

“Setakat ini, pejabat bergerak itu akan bermula di Taman Medan,” katanya selepas merasmikan Pejabat Bergerak Parlimen Petaling Jaya, di Taman Medan.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar; ADN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran dan ADN Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamad Supri.

Maria berkata, antara perkhidmatan diberikan melalui pejabat bergerak itu ialah pendaftaran Kad Peduli Sihat Pejabat ADN Taman Medan.

Katanya, ia turut mendapat kerjasama agensi kerajaan iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat Petaling Jaya, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

“Saya harap bahawa dengan adanya pejabat begerak ini, kita akan dapat mengeratkan lagi perhubungan antara pejabat Parlimen, pejabat ADN dan agensi kerajaan Persekutuan serta Negeri.

“Saya menyeru supaya penduduk dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang diberikan ini,” katanya.