Categories
NASIONAL

PPBM usia 2 tahun sudah bentuk kerajaan, usaha tingkat prestasi Melayu

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 SEPT: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad bersyukur baru sahaja memasuki usia dua tahun, parti itu sudah mampu bersama membentuk kerajaan.

Katanya, beliau gembira apabila parti itu mendapat kuasa sebagai anggota kerajaan campuran untuk membuat sesuatu bagi menjayakan orang Melayu selain mengurangkan jarak ekonomi dengan kaum lain.

Malah, katanya, kerajaan yang ada sekarang akan membuat sesuatu bagi menjayakan orang Melayu termasuk dalam aspek kewangan bagi mengurangkan jurang ekonomi mereka dengan kaum-kaum lain.

“Kita akan cipta dasar, peluang dan mengadakan kemudahan bagi orang Melayu meningkatkan prestasi mereka. Tetapi kali ini kita akan tentukan segala yang diberi kepada mereka tidak akan disalahgunakan.

“Jualan pemberian tidak akan dibenar. Kita akan tentukan mereka dilatih dengan cara-cara mengurus, terutama pengurusan wang. Kita akan semai ke dalam hati sanubari mereka nilai-nilai yang mulia. Kita tidak akan teragak-agak bertindak terhadap penyelewengan.

Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada sambutan ulang tahun kedua parti itu di Stadium Malawati, di sini, semalam.

Turut hadir isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, Dato’ Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Timbalan Presiden KEADILAN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Pengerusi DAP Tan Kok Wai dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Dr Mahathir berkata kerajaan dan pemimpin Pakatan Harapan (PAKATAN) akan menentukan hanya mereka yang terlatih atau berpengalaman diberi pertimbangan semasa menilai tawaran mereka dalam tender.

“CV mereka akan diambil berat, terutama berkenaan tabiat mereka apabila berhutang termasuk hutang PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional),” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kepimpinan PAKATAN termasuk PPBM tidak akan merampas hak atau atau harta sesiapa malah akan menitikberatkan dan mengambil kira soal persamaan satu sama lain.

“PPBM tidak akan jadi UMNO Najib. Kita tidak akan utama apa diri kita dapat. Keutamaan kita ialah untuk memajukan negara supaya menjadi negara maju. Tumpuan kita ialah agihan nikmat negara maju secara adil dan saksama,” katanya.