Categories
NASIONAL

Selesai di SPRM, Najib dibawa ke Menara KPJ

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 SEPT: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini dibawa ke ibu pejabat Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman di Menara KPJ Jalan Tun Razak, di sini, awal pagi ini.

Hal itu bertujuan merakam percakapan beliau berhubung siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Kehadiran Najib itu juga bertujuan membantu siasatan pihak polis yang bekerjasama dengan pasukan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes sama.

Memetik laporan Berita Harian, Najib tiba di perkarangan lobi Menara KPJ pada jam 9.20 pagi dengan diiringi dua motosikal pengiring polis dan sebuah kenderaan SPRM.

Kehadirannya Najib turut disambut beberapa pegawai AMLA yang dilihat menunggu di lobi bangunan itu seawal jam 8.30 pagi.

Difahamkan, ini merupakan kali ketiga Najib dipanggil selepas beliau pernah dipanggil juga pada 27 Ogos dan 30 Ogos lalu berhubung siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Semalam, Najib ditahan SPRM pada jam 4.13 petang di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

SPRM dalam kenyataan semalam berkata, Najib ditahan berhubung kes 1MDB berkaitan kemasukan wang RM2.6 bilion ke akaun peribadi beliau.

Berdasarkan kenyataan itu, SPRM memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan polis bagi merakam percakapan Najib sebelum beliau dibawa ke mahkamah petang ini.