Categories
NASIONAL

SIRD luncur Buku ‘Anatomy of an Electoral Tsunami’, gabungan tiga penulis

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BUKIT KIARA, 5 SEPT: Syarikat Penerbitan, Strategic Information and Research Development Centre (SIRD) dan GerakBudaya meluncurkan buku terbaharu ‘Anatomy of an Electoral Tsunami’, di Royal Selangor Club, di sini, hari ini.

Ia menampilkan gabungan penulis yang paling lantang dan tajam mengenai citra politik di Malaysia, iaitu Lim Teck Ghee, S. Thayaparan dan Terence Netto.

Buku itu mencatat tempoh kekacauan dan pergolakan politik yang belum berlaku di negara ini, kerana mereka mendedahkan parti, prinsip dan personaliti di sebalik kejatuhan pimpinan terdahulu (Umno) dan kembali kepada kuasa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Selain itu, karya berkenaan turut memberikan laporan bebas dan kritikal di sebalik Pilihan Raya Umum ke-14 serta prospek negara ketika ia melangkah ke era baharu.

Hadir sama, anak sulung kepada Allahyarham mantan Timbalan Perdana Menteri kedua, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, iaitu Tawfik Ismail.

Sebelum itu, Lim Teck Ghee adalah seorang penganalisis dasar awam dan koleksi karya penulisan beliau bertajuk ‘Challenging Malaysia’s Status Quo’ turut diterbitkan baru-baru ini.

Selain itu, beliau pernah menerima penganugerahan ‘The Harry Benda Prize’ di peringkat pengajian Asia Tenggara menerusi karya berkisar ‘Petani di Penjajah Malaya’.

Sementara itu, S. Thayaparan adalah seorang Panglima Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), merangkap pegawai tentera laut pertama yang mengkaji undang-undang melalui pembelajaran sendiri dan seterusnga dipanggil untuk ke bar di Lincoln’s Inn.

Beliau berkhidmat sebagai Sukarelawan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Sri Lanka dan bertindak selaku pegawai penghubung antara Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) serta Agensi Antarabangsa.

Beliau merupakan penulis ruangan kolumnis di portal Malaysiakini dan pengarang karya ‘No Country for Men Righteous Men and Other Essays in a Culture of Offendedness’

Manakala, Terence Netto pula seorang wartawan yang berkecimpung dalam bidang penulisan selama lebih empat dekad, dan kini berkhidmat sebagai penulis di portal Malay Mail serta Malaysiakini.