Categories
GLOBAL

Trump gelar globalisme ketika berucap di UNGA

NEW YORK, 26 SEPT: Meskipun berdepan pelbagai reaksi seperti renungan kosong, gelengan kepala dan dahi yang berkerut, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Selasa menyampaikan ucapan pada sesi ke-73 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), dengan berkempen tentang polisi luarnya “America First” dan pendirian perdagangan negara itu, sambil menyelar globalisme, lapor agensi berita China Xinhua.

Trump menonjolkan komitmen beliau untuk “mendahulukan kedaulatan berbanding pentadbiran global” dan mempertahan beberapa keputusan diplomatiknya yang amat kontroversi.

Beliau menyerang beberapa organisasi dan perjanjian antarabangsa seperti Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan perjanjian nuklear Iran, yang menyaksikan pentadbirannya membuat pengumuman sama ada akan keluar atau dikenakan sekatan.

Trump turut menyelar Iran, Venezuela serta Jerman, antara lain, dan bermegah-megah dengan sekatan Amerika Syarikat yang baru diumumkan ke atas Venezuela pada Selasa.

Menyentuh Korea Utara, Trump berkata pertemuannya dengan pemimpin tinggi negara itu, Kim Jong Un, adalah produktif.

Bagaimanapun, Trump berkata sekatan ke atas negara itu akan kekal “sehinggalah pembasmian senjata nuklear berlaku.”

Ucapan itu mendapat reaksi seperti renungan kosong, gelengan kepala dan dahi yang berkerut sepanjang keseluruhan prosesnya, serta berakhir “dengan tepukan sopan dan tidak berbunyi,” menurut laporan beberapa media di lokasi.

Ini merupakan kali kedua Trump berucap di UNGA sejak beliau mengambil alih jawatan pada 2017.

SUMBER: BERNAMA