Categories
NASIONAL

Tun M: Melayu perlu nilai diri sendiri dahulu, kuat kerja

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 SEPT: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed menegaskan kepada masyarakat Melayu supaya berhenti menuduh sebaliknya perlu menilai diri sendiri terlebih dahulu.

Dr Mahathir berkata, sekiranya seseorang itu dapat mengaku kesalahan sendiri maka perlu diperbetulkan kesalahan itu sewajarnya.

Mengulas mengenai Dasar Ekonomi Baru yang kurang berjaya dan tidak memuaskan, Dr Mahathir berkata, ia ekoran daripada kesalahan masyarakat Melayu sendiri yang bekerja sambil lewa dan tidak mengambil berat tanggungjawab masing-masing.

“Mirip kita ialah untuk menuduh orang lain. Mirip kita ialah untuk menuduh Kerajaan, menuduh kaum lain dan berbagai lagi. Mereka semua salah apabila kita gagal. Kita tidak pernah salah.

“Apakah kesalahan kita? Sesungguhnya terdapat banyak kesalahan yang kita lakukan. Yang pertama kita tidak bekerja sekuat orang lain. Bukan saja kita tidak kerja keras tetapi kerap kali kita tidak ambil berat tanggungjawab kita. Kita sering kurang meneliti sebelum kita membuat keputusan dan bertindak.

“Kita kurang kuasai ilmu dan maklumat yang diperlukan untuk kita membuat keputusan yang baik. Tanpa izin saya berani mendakwa kita malas. Kita lebih suka serah kerja kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulangtahun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang ke-2 tahun, di Stadium Malawati, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Pengerusi DAP, Tan Kok Wai; Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, kebelakangan ini Malaysia dibanjiri ramai warga asing dan amat sukar untuk bertemu dengan masyarakat tempatan terutama dalam pekerjaan sektor buruh.

“Ya, memang kerja itu berat. Mungkin kotor dan berbahaya. Kita cuma cari kerja yang ringan, dikilang berhawa dingin. Tetapi disitu pun daya keluaran atau produktiviti kita rendah.

“Kita cepat menuntut hak. Gaji dan upah perlu tinggi. Tetapi kita kerap membawa M.C. (surat sakit) apabila tidak hadir untuk bekerja. Ada sahaja sebab. Pelabur amat tidak suka mengambil kita bekerja. Dan kita marah lalu lapor kepada Kerajaan,” katanya.

Dr Mahathir berkata, akibat tidak sanggup bekerja sekali gus pekerja asing mula membanjiri malah tanpa mereka Malaysia juga tidak dapat membangun seperti hari ini.

“Namun, Jika mereka tinggal lama di negara kita, secara tidak langsung atau secara langsung mereka akan memiliki negara ini. Anak dara kita akan berkahwin dengan mereka,” katanya.