Categories
PBT SELANGOR

GM Klang & 99 Speedmart bantu kakitangan MPK terbabit bencana

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 5 OKT: GM Klang dan 99 Speedmart menghulurkan bantuan berbentuk barangan keperluan kepada empat keluarga kakitangan Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang menjadi mangsa ribut, pada Isnin lalu.

Majlis penyerahan disempurnakan Timbalan Yang Dipertua MPK, Adi Faizal Ahmad Tarmizi bersama Pengurus Projek GM Klang, Jack Tan dan Pengurus Bahagian Operasi (Cawangan) 99 Speedmart, Mod Mahrus Mohd Faizal, di Dewan Serbaguna Teluk Pulai.

Empat kakitangan terbabit adalah Mohd Faizal Azmi, Mohd Faizal Jamil, Tamil Selvam Nagappan dan Kanthan Ezhumalai.

Kesemua mereka menerima bantuan wang tunai RM1,000 berserta selimut dan makanan.

Adi Faizal yang ditemui selepas majlis penyerahan berkata, kesemua kakitangan diberikan cuti darurat sepanjang minggu ini ekoran kejadian yang menyebabkan kerosakan bumbung kediaman mereka, di Blok B dan C Kuartes MPK, Jalan Tepi Sungai.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mengambil tindakan segera bagi membaiki kerosakan yang berlaku.

“Buat masa ini, kerja baik pulih belum bermula kerana masih dalam proses penilaian oleh Jabatan Kejuruteraan.

“Kita tempatkan mereka (keluarga mangsa) di sini sejak Isnin lalu dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat Klang dan akan kembali bertugas pada minggu hadapan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Farid Abdul Aziz ketika ditemui menceritakan kejadian yang berlaku sekitar jam 2 petang ketika beliau sedang menjaga dua anaknya, di rumah.

“Dalam jam 2 petang, bunyi guruh agak kuat dan saya bersama anak ketika itu sedang tidur di rumah. Saya nampak bumbung dan siling blok hadapan runtuh.

“Tempias air hujan juga mula memasuki rumah dan tanpa berfikir panjang, saya membawa dua anak berusia dua serta enam tahun turun menyelamatkan diri,” katanya.

Beliau berkata, ini adalah kejadian pertama sejak menetap di kuarters itu hampir empat tahun.