Categories
NASIONAL

Kes GST: PAC panggil Najib beri keterangan esok

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan dipanggil Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi memberi keterangan berkaitan isu bayaran tunggakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bernilai RM19.4 juta, esok.

Timbalan Pengerusinya, Wong Kah Wah berkata, keterangan itu penting bagi membantu PAC dalam perkara berkaitan.

“Kita akan memanggil Najib untuk memberikan keterangan berkenannya esok dan selepas itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng juga akan dipanggil bagi tujuan sama.

“Segala keterangan dan bukti akan kita teliti untuk melengkapkan prosiding nanti,” katanya kepada media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas PAC selesai mengambil keterangan mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar.

Kah Woh berkata, ia adalah kali kedua PAC mengadakan sesi itu bersama Mohd Irwan.

“PAC sudah mengambil keterangan beliau dan ia hanya berhubung kait dengan isu GST,” katanya.

Berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), katanya, PAC akan memulakan prosiding minggu depan dengan memanggil mantan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang sebagai saksi pertama bagi memberi keterangan.