Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Pelajar Selangor di Mesir komited zahirkan saranan Amirudin

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

KAHERAH, 13 OKT: Pelajar Selangor di Mesir menyambut baik usaha Kerajaan Negeri terutama dalam memperluaskan minda mereka supaya tidak terhad kepada apa yang dipelajari sahaja.

Selain itu, mereka juga menyifatkan banyak pengisian penting yang disampaikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, pada Majlis Ramah Mesra bersama pelajar Selangor di Mesir bersama beliau, di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah, di sini, semalam.

Pelajar tahun lima jurusan perubatan, Muhammad Naufal Mohammad Lutfi berkata, mahasiswa harus berfikir dengan kritis dan matang serta tidak terhad dalam satu kelompok sahaja.

“Ia sangat kritikal di Mesir ini kerana kita banyak persatuan tetapi tidak boleh berkolaborasi dengan sangat baik antara pelajar, di sini.

“Dato’ Menteri Besar juga ada menyentuh isu menarik yang tidak boleh dipandang mudah oleh goloagan mahasiswa iaitu kaedah untuk memperbaiki masyarakat di Selangor melalui pendidikan, kemajuan teknologi dan kemasyarakatan.

“Saya juga melihat bagaimana Kerajaan Selangor menghadapi Revolusi Industri 4.0 dan pada masa sama tidak meninggalkan identiti manusiawi yang ada dalam setiap masyarakat,” katanya yang juga Yang DiPertua Angkatan Belia Islam Malaysia cawangan Mesir kepada SelangorKini.

Bagi pelajar tahun satu jurusan dirasat islamiah dan bahasa arab, Muhd Syukri Abdullah, kursus kepimpinan yang dianjurkan sempena kehadiran Dato’ Menteri Besar juga berjaya meyakinkan beliau untuk berkomunikasi dengan lebih baik terutama membabitkan pengucapan awam.

Beliau yang juga pelajar tajaan Biasiswa Dato’ Menteri Besar Selangor berkata, paling penting dalam melakukan perubahan adalah melalui diri sendiri dan mahasiswa perlu berani membina jati diri dalam usaha menjadi anggota masyarakat yang mampu memberikan yang terbaik dalam pelbagai aspek.

“Kursus ini sangat menggilap bakat pelajar Selangor di Mesir kerana ia adalah peluang untuk kami berkomunikasi di hadapan orang ramai dan ia sukar untuk diperolehi dalam silibus pengajian.

“Saya juga terkesan dengan ucapan Dato’ Menteri Besar iaitu bagaimana pengajian Islam boleh diterjemahkan dan menyelamatkan tamadun itu sendiri. Jika dahulu, Rasulullah SAW datang untuk menerangi cahaya kejahilan, namun kini tamadun yang dibawa baginda penuh dengan akhlak dan berilmu,” katanya.

Terdahulu, Amirudin dalam ucapannya berkata, graduan pengajian Islam perlu melebarkan pemikiran mereka untuk menceburi bidang kemahiran dan teknikal atau bidang lain yang sesuai supaya tidak terhad kepada industri pekerjaan membabitkan pendidikan sahaja.

Katanya, banyak peluang boleh didapati di pasaran kerja seperti industri hab halal dan Kerajaan Negeri bersedia menyediakan kursus bersesuaian jika terdapat permintaan tinggi daripada graduan berkenaan.

Pada majlis itu, turut diadakan penyerahan sumbangan oleh Kerajaan Negeri kepada Pejabat Atase Pendidikan (Selangor) Mesir melalui Yayasan Selangor sebanyak RM10,000, manakala Perbadanan Negeri Selangor Berhad pula RM50,000 untuk aktiviti pelajar negeri itu.