Categories
NASIONAL

Pulih integriti sebelum laksana e-voting, banyak negara ‘U Turn’ – ahli akademik

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 31 OKT: Kerajaan perlu menangani isu integriti sebelum melaksanakan sistem ‘e-voting’ jika mahu melaksanakannya dalam pilihan raya di negara ini, kata penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian.

Katanya, ia termasuklah isu pengundi hantu, pembelian undi, keganasan dan masalah persempadanan.

“Kita perlu mengatasi masalah ini terlebih dahulu sebelum berbelanja lebih untuk teknologi lebih canggih bagi menjalankan sistem pengundian melalui online.

“Selain isu integriti, kita perlu melihat masalah sekuriti dan ancaman penggodam melalui e-voting, sehingga kini Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump masih terpalit dengan dakwaan ‘hackers’ dari Rusia yang ‘membantunya’ berjaya ketika sistem e-voting dilakukan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Siva berkata, sejak tahun 2000, beberapa negara sudah melaksanakan sistem itu termasuk Kanada, Finland, Perancis, Norway dan Astonia.

Namun rata-ratanya sudah membuat ‘u-turn’ dengan kembali melaksanakan sistem undi secara konvensional menggunakan kertas.

“Namun di Astonia, mereka melaksanakan sistem undi melalui online dan juga konvensional, ini kerana ada diantara kawasan pedalaman yang tidak mempunyai jaringan internet tanpa wayar,” katanya.

Pada masa sama, Siva turut berpendapat pelaksanaan sistem e-voting pada pemilihan KEADILAN di seluruh negara menjadi penanda aras terhadap perlaksanaannya.

“KEADILAN sudah menjadikannya sebagai bahan ujikaji dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh melihat di mana kekuatan dan kelemahannya, namun pada peringkat awal secara peribadi, sistem e-voting itu banyak kelemahannya.

“Walau apapun, perkara paling penting ialah saya berharap supaya perbaiki sistem sedia ada sekali gus meyakinkan pengundi,” katanya.