Categories
SELANGOR

Selangor Agro Market: 34 lokasi bakal ditambah

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 OKT: Program Selangor Agro Market (SAM) akan diperluaskan lagi kepada 34 lokasi baharu yang akan dikenalpasti di negeri ini.

EXCO Infrastruktur&Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian & Industri Asas Tani, Izham Hashim berkata, program itu merupakan kolaborasi Kerajaan Negeri bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang sudah bermula awal tahun 2018 membabitkan pelaksanaan 87 lokasi di sembilan daerah di Selangor dengan nilai jualan sebanyak RM3.5 juta.

“Susulan sambutan yang diterima amat menggalakkan, Kerajaan Negeri bersetuju menambah lokasi dan pengguna boleh mendapat produk segar serta barangan industri asas tani secara terus.

“Sambutan diterima amat bagus, jadi kita komited meneliti 34 lokasi berpotensi,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Izham berkata, antara lokasi tersebut adalah membabitkan lapan di Petaling, lima di Klang dan masing-masing tiga di Kuala Selangor, Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Beliau berkata, ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan lokasi SAM di Selangor adalah 121 menjelang 2019.

“Setakat ini, program SAM kita buat secara mingguan namun akan lihat sama ada untuk buat secara bulanan dan besar-besaran pada masa akan datang.

“Selain program ini, Kerajaan Negeri dan FAMA turut mengenalpasti ruang lain untuk memasarkan produk sedemikian kerana kita tidak boleh fokus pada satu cara sahaja,” katanya.

Sementara itu, Izham berkata, seminar kali pertama kerjasama bersama FAMA itu merupakan platform terbaik untuk berhubung terus dengan usahawan dalam memberi perkhidmatan bersesuaian dengan kehendak pasaran dunia.

“Kita menyediakan kursus, simposium dan bengkel yang akan dibuat secara berturutan pada masa akan datang bertujuan meningkatkan kemampuan industri asas tani khususnya usahawan dalam mendepani cabaran dan meningkatkan hasil jualan mereka.

“Antara kaedah yang kita buat menerusi seminar ini adalah saringan produk bagi mengenalpasti keperluan mereka dari segi kualiti, pembungkusan serta paling penting persijilan supaya mereka dapat melihat hala tuju produk mereka,” katanya.