Categories
NASIONAL

AMK saran turunkan usia minimum ahli parti

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 NOV: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mahu usia untuk menjadi ahli parti diturunkan kepada usia bawah 18 tahun.

Mantan Ketua Angkatan Muda, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, KEADILAN sebelum ini menerima ahli parti minimum 18 tahun, namun ia wajar dikaji semula ekoran usia mengundi juga diturun kepada 18 tahun.

“Usia mengundi juga diturunkan kepada 18 tahun. Kami mengalu-alukan, tetapi ini bermakna KEADILAN perlu kaji semula.

“Umno turunkan kepada 16 tahun. Manakala PAS pula akil baligh. Jadi, kita perlu meminda seiring dengan usia mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan di Kongres Nasional KEADILAN ke 13 yang bertemakan yang bertemakan Memaknai Demokrasi, Menterjemah Reformasi, di IDCC, di sini.

Pada masa sama, Nik Nazmi menyarankan pendidikan politik juga perlu diterapkan pada peringkat pendidikan juga parti.

“Begitu juga buku bacaan sejarah parti perlu difahami pada anggota yang menyertai parti selepas 9 Mei lalu.

“Ini kerana kita berbeza dengan parti lain bukan sebab pangkat tetapi ada agenda rakyat, itu keistimewaan KEADILAN,” katanya.

Sementara itu, Nik Nazmi juga mahu, kepimpinan AMK yang baharu dapat membawa KEADILAN terus ke hadapan bukan hanya memfokuskan politik individu.

“Rakyat tidak mahu kisah pasal itu tetapi mahu kedepan soal gaji, perumahan, pendidikan termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Negara (PTPTN).

“Oleh itu, saya berharap AMK baharu boleh bawa isu ini ke hadapan bagi perhatian pihak kerajaan dan parti,” katanya.