Categories
GLOBAL

Australia beri amaran serangan sengkenit

MELBOURNE 20 NOV: Rakyat Australia diberi amaran agar bersiap sedia untuk berdepan musim serangan sengkenit atau kutu yang dipercayai didorong oleh faktor perubahan cuaca semasa di negara itu.

Gigitan sengkenit boleh menyebabkan penyakit Lyme iaitu penyakit kontroversi berikutan kerajaan dan pihak berkuasa perubatan mendakwa bahawa tiada bukti kewujudannya di Australia.

Sengkenit turut menyebabkan penyakit berbahaya lain termasuk tifus kutu Australia atau ‘demam bertompok-tompok’, kelumpuhan dan alahan teruk yang boleh membawa maut jika tidak segera dirawat.

Dr. Mualla McManus daripada Fakulti Sains Perubatan Universiti Sydney menyatakan, masa awal musim panas yang mengakibatkan keadaan cuaca panas lembap adalah waktu sengkenit paling kerap menghisap darah mangsanya.

“Ini juga musim telur sengkenit menetas iaitu ketika cuaca hujan dan lembap. Serangga itu sukakan kelembapan,” kata McManus yang mengakui orang ramai tidak sedar digigit kutu kerana saiz serangga itu.

Menurutnya, sengkenit boleh mengesan kehadiran manusia menerusi karbon monoksida yang terkandung dalam nafas seseorang individu.

SUMBER: AGENSI