Categories
EKONOMI

Dagangan pasaran getah dijangka kecil minggu depan

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Pasaran getah Malaysia dijangka mengalami dagangan yang kecil pada minggu depan disebabkan kebimbangan yang berterusan ke atas lebihan bekalan dalam negara pengeluar serta cabaran ketidaktentuan global.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia, Denis Low Jau Foo berkata krisis perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, ketidaktentuan di Eropah selepas Brexit dan pergerakan harga minyak akan terus memberi kesan ke atas pasaran komoditi termasuk getah.

“Pasaran juga dijangka lengang minggu depan disebabkan oleh permintaan yang lembap. Prospek pasaran niaga hadapan juga suram kerana cabaran ketidaktentuan. Semua ini memberikan petunjuk bahawa wujud kemungkinan aliran penyusutan harga,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga memberitahu Malaysia mungkin akan mengalami kadar hujan yang tertinggi dan musim banjir pada bulan depan, ini dijangka akan menganggu aktiviti menoreh.

“Harapan sekarang terletak pada hujan monsun dan aktiviti-aktiviti menoreh yang lebih terhad. Ini akan meningkatkan harga tetapi, buat masa sekarang, kebanyakan cuaca negara-negara pengeluar adalah baik,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga berkata para peneraju pasaran juga lebih suka mengambil sikap ‘tunggu-dan-lihat’ di hadapan mesyuarat perdagangan AS-China yang akan mengambil tempat, semasa sidang kemuncak G20 di Buenos Aires pada minggu depan.

Urus niaga dalam minggu ini menjadi pendek berikutan cuti Maulidur Rasul pada Selasa lepas.

Untuk minggu yang baru berakhir, harga getah diniagakan rendah.

Asas Jumaat kepada Jumaat, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 susut 6.5 sen kepada 503.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun lapan sen kepada 370 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi pada 5 petang, bagi SMR 20 merosot sebanyak 5.5 sen kepada 505.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal jatuh enam sen kepada 371.5 sen sekilogram.

SUMBER: BERNAMA