Categories
NASIONAL

Kemenangan sebenar lunaskan janji kepada rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 NOV: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar mahu ahli parti supaya melaksanakan setiap janji dilaksanakan dan tidak menjadikan Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14) baru-baru ini stesen terakhir kepada parti itu.

Katanya, semua pihak harus merumuskan formula terbaik dan sekiranya gagal, tiada jaminan untuk kekal menang dalam PRU seterusnya.

Beliau berkata, kemenangan sebenar kepada parti adalah kemenangan yang melunaskan janji kepada rakyat.

“Apakah yang dikatakan Malaysia Baharu? Selepas merasai pahit getir, di sebalik senyuman pastikan parti terus berpegang kepada idealisme. Berkhidmat beri kebajikan.

“Kita mahu supaya kekuatan kita ini berjaya melunaskan janji. Kita sudah menang. Kita belajar perjuangan perlukan pengorbanan ahli parti, perlukan pembelaan.

“Saya terkesan melihat rakyat beratur untuk mengundi. Bersusah payah hadir, dalam panas. Beri penghormatan demokrasi. Jika bercakap mengenai islah, haruslah kita berubah ke aras kebaikan, lebih efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan di Kongres Nasional KEADILAN ke 13 yang bertemakan yang bertemakan Memaknai Demokrasi, Menterjemah Reformasi, di IDCC, di sini.

Nurul Izzah berkata, sebagai sebuah parti yang besar dan memperjuangkan agenda reformasi, reformasi undang-undang perlu diberi perhatian.

“Pada saya, ukuran kejayaan, reformasi undang-undang perlu tidak lagi disalah guna. Undang-undang yang boleh diguna jika kita benci seseorang.

“Nyahkan undang-undang ini kerana kita percaya agenda reformasi, kita percaya rakyat boleh pilih parti mana yang mereka mahukan,” katanya.

Beliau berkata, reformasi ekonomi seperti simpanan isteri menerusi Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWSP) merupakan isu keselamatan sosial yang dicontohi.

“Subsidi kepada rakyat perlu diuruskan, boleh terima dan diberi secara tuntas. Namun, kita pastikan mereka yang menerima rasuah perlu dihadapkan ke mahkamah.

“Jadilah parti terulung bukan parti yang dilupakan,” katanya.