Categories
SELANGOR

Komited bantu MAKSAK

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 NOV: Kerajaan Negeri komited untuk membantu Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (MAKSAK) dengan menyediakan fasiliti yang diperlukan, selain peruntukan geran RM300,000.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal itu kerana Kerajaan Negeri mahukan penjawat awam tidak hanya tertumpu kepada aktiviti formal dan harian di pejabat sahaja.

“Saya percaya salah satu aktiviti MAKSAK akan dapat menjalin hubungan dengan komuniti luar terutamanya seperti kelompok kebudayaan.

“Ia adalah medium penyampaian atau ejen terbaik masa hadapan,” katanya
di Majlis Perasmian Penutup Festival Kesenian MAKSAK Malaysia 2018, di Dewan Banquet, Dewan Jubli Perak, di sini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) merangkap Timbalan Yang Dipertua MAKSAK Selangor, Zamani Ahmad Mansor dan Setiausaha Aging MAKSAK Malaysia, Radin Hedly Shah Radin Mohamad Hambali.

Pada program itu, Amirudin yang juga Penaung MAKSAK Selangor berkata, MAKSAK Selangor aktif menyertai semua acara yang dipertandingkan tahun lalu.

Katanya, Anugerah Johan Keseluruhan dan Kebajikan Malaysia tahun lalu turut dirangkul MAKSAK Selangor.

“Festival kesenian ini dapat menyatukan dan membudayakan budaya seni dalam kalangan penjawat awam di Malaysia.

“Saya sentiasa menyokong bagi memastikan sejarah kesenian yang bertapak sekian lama tidak akan terkubur,” katanya.