Categories
SELANGOR

Lapor kepada PBT jumlah rumah terbiar

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 29 NOV: Ahli Dewan Negeri (ADN) disaran melaporkan jumlah rumah terbiar di kawasan masing-masing kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi melengkapkan data untuk tindakan lanjut

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata terdapat 4,907 rumah terbiar di 12 kawasan yang diterima Kerajaan Negeri dari seluruh PBT.

“Itu fakta terbaharu Kerajaan Negeri terima namun sekiranya Ahli-Ahli Yang Berhormat kurang yakin saya galakkan supaya Ahli-Ahli Yang Berhormat laporkan jumlah rumah terbiar di Dewan Undangan Negeri masing-masing.

“Ia kerana besar kemungkinan masih ada rumah terbiar tidak dilaporkan kepada PBT,” katanya ketika membentangkan sesi soal jawab di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Terdahulu, berdasarkan data PBT terdapat 4,907 rumah terbiar di sekitar Selangor mengikut daerah masing-masing.

Bilangan rumah terbiar yang dilaporkan dari PBT masing-masing didapati terdapat 1,995 unit rumah terbiar di sekitar Majlis Bandaraya Shah Alam; Majlis Bandaraya Petaling Jaya (178); Majlis Perbandaran Klang (114) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (360).

Selain itu, Majlis Perbandaran Subang Jaya (568); Majlis Perbandaran Selayang (190); Majlis Perbandaran Kajang (119) dan Majlis Perbandaran Sepang (152).

Manakala, di Majlis Daerah Kuala Langat (988); Majlis daerah Hulu Selangor (63); Majlis Daerah Kuala Selangor (150) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (30).