Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

MAHA 2018: Peluang belia terokai bidang pertanian

OLEH AFIX REDZUAN

SERDANG, 22 NOV: Golongan muda disarankan menceburi bidang pertanian dan penternakan menerusi perkongsian maklumat serta teknologi terbaharu yang ditawarkan dalam Pameran Antarabangsa Hotikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2018.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan komited mengoptimumkan penggunaan dan kemudahan pertanian serta logistik sedia ada bagi memastikan pengusaha industri pertanian dapat meningkatkan hasil, pada skala lebih besar.

Katanya, dengan pertambahan penduduk di Malaysia yang dijangka mencecah 41.2 juta pada 2040, negara pastinya mahu memastikan jaminan bekalan makanan mencukupi.

“MAHA 2018 akan terus dijadikan platform menarik golongan muda khususnya untuk menceburi bidang pertanian dan menyemai semangat keusahawanan dalam minda mereka.

“Pembangunan usahawan belia tani sebagai perintis dan pelopor sektor agro makanan perlu seiring dengan perkembangan permintaan sumber bekalan makanan akan datang yang mampu menjadi pelapis kepada petani, penternak dan nelayan kita hari ini.

“Pelbagai insentif dan peruntukan disediakan untuk menarik lebih ramai ‘agropreneur’ muda dalam sektor agro makanan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian MAHA 2018 bertemakan ‘Makanan Kita, Masa Depan Kita’, di MAEPS Serdang sambil diiringi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

Katanya, sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih agak kecil sedangkan ia memiliki potensi besar.

Katanya, berdasarkan statistik, KDNK yang disumbangkan sektor pertanian adalah 8.17 peratus, pada 2017 berbanding 8.07, pada 2016.

“Walaupun peratusannya kecil, nilai ekonomi sektor agro makanan cukup signifikan iaitu RM37.4 bilion untuk 2017, berbanding RM36.7 billion, pada tahun sebelumnya.

“Oleh itu, pengeluaran produk agro makanan dilihat berpotensi besar untuk ditingkatkan supaya Malaysia mampu memenuhi jaminan bekalan makanan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada bekalan import,” katanya.

Dalam Kajian Separuh Penggal, Rancangan Malaysia Kesebelas (KSP RMK-11) yang bentangkan di Parlimen, kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan sumbangan kepada nilai ditambah pertanian kepada jumlah sasaran sebanyak 42.8 peratus, pada 2020.

MAHA 2018 berlangsung selama 11 hari sehingga 2 Disember ini dengan sasaran pengunjung lebih 3.5 juta.

Selain itu, terdapat 13 pavilion negeri yang menampilkan identiti, kebudayaan dan makanan disediakan untuk dinikmati pengunjung.