Categories
BERITA UTAMA PENDIDIKAN SELANGOR

MB: LZS salur lebih RM33.2 juta ringan beban lebih 60,000 anak asnaf

OLEH HAFIZAN TAIB

CYBERJAYA, 25 NOV: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan bantuan persekolahan kepada lebih 60,420 anak asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor dengan peruntukan kira-kira RM33.2 juta bagi membiayai persiapan persekolahan sesi 2019.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pemberian bantuan itu adalah program dijayakan LZS setiap tahun bagi mengurangkan bebanan anak asnaf di negeri itu dalam menangani kos sara hidup tinggi masa kini.

“Ia salah satu skim zakat dilaksanakan LZS kepada anak asnaf yang berdaftar di mana kita mempunyai dua skim iaitu bantuan sebelum Aidilfitri dan sebelum pembukaan sekolah tahun depan.

“Dua peringkat ini adalah tempoh agak tinggi penggunaan kewangan dalam setiap isi rumah dan untuk golongan asnaf sudah pasti ia memberi kesan langsung kepada perbelanjaan harian mereka,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas Program Agihan Perdana Bantuan Pendidikan Asnaf Fakir dan Miskin Selangor sesi 2019 anjuran LZS di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jumlah bantuan LZS pada tahun ini mencatatkan peningkatan berbanding tahun lalu iaitu lebih 50,000 anak asnaf.

“Ia disebabkan faktor jumlah kelahiran dan komuniti termasuk juga penghijahan serta sebagainya.

“Secara tidak langsung, Selangor mempunyai rekod peningkatan penduduk agak signifikan setiap tahun,” katanya.