Categories
SELANGOR

PBT laksana operasi kilang haram 2 kali sehari

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 NOV: Kerajaan Negeri komited memerangi isu iklan haram dengan melaksanakan operasi dua kali sehari, pada awal pagi dan petang di semua kawasan operasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, Kerajaan Negeri melalui PBT sentiasa mengambil tindakan memerangi iklan haram itu.

Katanya, tindakan diambil di bawah Peruntukan 7 Undang-Undang Kecil Iklan 2007 berkaitan kesalahan mempamerkan iklan tanpa lesen.

“Kompaun juga dikenakan sebanyak RM600 dan jika didakwa di mahkamah, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor, di sini.

Pada masa sama, Sze Han berkata, PBT akan mengemukakan nombor telefon pengiklanan kepada pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk permohonan penamatan perkhidmatan.

Katanya, operasi bersepadu iklan ah long dengan kerjasama polis dan badan bukan kerajaan terus dilaksanakan.

“PBT juga melakukan pemeriksaan terhadap syarikat atau agensi yang menjalankan perniagaan percetakan terutama membabitkan banner, bunting dan pelekat.

“Jika syarikat atau kilang percetakan itu didapati mencetak iklan tidak berlesen, lesen perniagaan mereka akan ditarik atau dibatalkan,” katanya.