Categories
GLOBAL

Rakaman pembunuhan Khashoggi mengejutkan perisik Arab Saudi: Erdogan

ISTANBUL 14 NOV: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, rakaman berkaitan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi, yang dikongsi negara itu dengan sekutu Barat ‘mengejutkan’ seorang pegawai perisikan Arab Saudi yang mendengarnya, kata laporan media tempatan semalam.

Khashoggi, pengkritik pemerintah de facto Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman, dibunuh di konsulat Riyadh di sini 2 Oktober lalu dalam pembunuhan dikatakan Erdogan diarahkan ‘di peringkat tertinggi’ kerajaan negara itu.

Enam minggu selepas kematian Khashoggi, Turki cuba meningkatkan tekanan ke atas Mohammed dan mengeluarkan rentetan bukti yang menjejaskan penafian awal pembabitan Riyadh.

Mohammed bagaimanapun mendapat sokongan Penasihat Keselamatan Amerika Syarikat (AS) John Bolton, semalam yang mengatakan beliau tidak fikir rakaman pembunuhan dikongsi Turki mengaitkan putera raja itu.

Erdogan memberitahu media dalam pesawat yang kembali dari lawatan ke Perancis hujung minggu lalu, beliau membincangkan pembunuhan wartawan Arab Saudi itu dengan pemimpin AS, Perancis dan Jerman di sana, menambah Turki memainkan rakaman itu kepada sekurang-kurangnya enam negara lain.

“Rakaman itu benar-benar mengejutkan. Malah apabila pegawai perisikan Arab Saudi mendengarnya, beliau sangat terkejut hingga berkata: ‘Sesiapa yang melakukannya sudah pasti mengambil heroin, hanya seseorang yang mengambil heroin sanggup melakukan perbuatan ini,” tambahnya.

Bolton berkata, beliau tidak fikir sesiapa yang mendengar rakaman itu merumuskan putera raja terbabit dikaitkan dengan pembunuhan itu.

“Sudah pasti ia bukan tindakan diambil kerajaan Arab Saudi,” katanya di Singapura.

Sementara itu, akhbar New York Times (NYT), dalam laporan disahkan seorang pegawai Turki berkata, anggota pasukan Arab Saudi yang dihantar ke sini untuk membunuh Khashoggi memaklumkan seorang daripada pegawainya selepas pembunuhan itu untuk ‘memberitahu bos anda’, yang dikatakan akhbar merujuk kepada Mohammed.

Individu itu dikenal pasti sebagai Maher Mutreb, yang melaporkan kepada seorang pembantu putera mahkota, Saud al-Qahtani. Mutreb juga dipetik sebagai berkata ‘pembunuhan sudah selesai.’

Dalam ulasannya kepada media, Erdogan berkata, jelasnya pembunuhan itu dirancang dan arahan datangnya daripada peringkat atasan pihak berkuasa Arab Saudi, namun beliau tidak terfikir mengenai Raja Salman yang amat dihormatinya.

“Putera mahkota berkata, ‘Saya akan menjelaskan perkara itu, saya akan melakukan apa yang wajar.’ Kami menunggu dengan sabar,” kata Erdogan, menambah pembunuh antara 18 suspek ditahan di Arab Saudi.

SUMBER: REUTERS