Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

34,050 ahli TAWAS terima bantuan persekolahan

OLEH SHEEDA FATHIL

SELAYANG, 2 DIS : Seramai 34,050 ahli Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) menerima set barangan sekolah daripada Kerajaan Negeri sebagai bantuan, bagi memulakan sesi persekolahan tahun depan.

Majlis penyampaian bantuan itu disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari di Sekolah Kebangsaan (2) Taman Selayang, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri komited dalam menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat Selangor bertujuan meringankan beban mereka.

“Bantuan ini sebagai inisiatif membantu ahli TAWAS terutama kanak-kanak yang baru ingin memulakan alam persekolahan tahun 1 pada 2019 nanti.

“Nilai mungkin tidak besar, namun ia sebagai tanda sokongan Kerajaan Negeri kepada rakyat di Selangor terutamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Program Bantuan Sekolah Ahli TAWAS, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), Gan Pei Nei; Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong dan ADN Sungai Ramal, Mazwan Johar.

Program TAWAS terbuka kepada anak-anak kelahiran Selangor yang memenuhi syarat dan permohonan serta perlu berdaftar sebelum anak berusia 3 tahun.

Tabung berkenaan diuruskan Kerajaan Negeri dan Ahli TAWAS menerima RM1,500 apabila mencapai usia 18 tahun kelak.

Difahamkan, sejak ditubuhkan pada 2008, ahli TAWAS kini sudah seramai 334,063 di seluruh Selangor.