Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Cipta pendapatan baharu rancakkan ekonomi negeri

OLEH NORHAYATI UMOR

KAJANG, 16 DIS: Kerajaan Negeri akan mempertingkatkan usaha untuk mencipta aliran pendapatan baharu dan memastikan dasar dilaksana bagi merancakkan ekonomi negeri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, keseimbangan di antara pertumbuhan ekonomi negeri yang sihat dan keperihatinan untuk memangkin rakyat yang kurang bernasib baik sentiasa menjadi agendanya.

Katanya, Kerajaan Negeri turut merangka dan akan melaksanakan pelbagai program kebajikan yang akan dinikmati seluruh rakyat negeri.

“Ketika membentangkan belanjawan tempoh hari, saya menekankan tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk memastikan tiada sesiapapun dipinggirkan. Kita mahu sekalian rakyat untuk maju bersama.

“Kerajaan Negeri amat komited untuk sentiasa memastikan kemajuan ekonomi, kestabilan politik, dan kemakmuran sosial yang dinikmati oleh rakyat di Negeri Selangor ketika ini, akan terus kita pelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Krimas peringkat negeri, di Padang Awam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), di sini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum, etnik dan agama dalam melaksanakan pelbagai program pembangunan serta masyarakat.

Malah, pihaknya akan terus melipat-gandakan usaha untuk meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran yang berterusan demi untuk faedah rakyat.

“Justeru, sebarang tindakan yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat dan kestabilan kerajaan, perlulah dihindari.

“Ia bagi membolehkan kita merealisasikan agenda pembangunan dengan berkesan untuk meningkatkan lagi taraf sosio ekonomi rakyat dan memacu kemajuan khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.