Categories
SELANGOR

Hormat menghormati dan hargai kepelbagaian kunci kemajuan

OLEH NORHAYATI UMOR

KAJANG, 16 DIS: Sikap saling menghormati dan menghargai kepelbagaian kaum perlu dikekalkan sebagai satu keunikan kerana ia merupakan kunci kepada kemajuan sosioekonomi negara.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal itu sekali gus, menolak sebarang pengaruh negatif pihak tertentu yang mahu melihat rakyat pelbagai kaum saling prejudis dan bertelingkah antara satu sama lain.

Katanya, keamanan dan perpaduan tidak akan tercapai jika kita tidak kenal atau curiga antara satu sama lain.

“Oleh itu, kita harus bersama-sama memupuk semangat kekitaan, semangat perpaduan dan keamanan di antara rakyat negeri ini.

“Saya merasa gembira melihat rakyat Negeri Selangor yang berbilang bangsa bersama-sama meraikan sambutan Krismas malam ini.

“Inilah kekuatan dan kehebatan Negeri Selangor sebagai sebuah negeri kosmopolitan yang menolak segala anasir cauvinisme kaum mahupun agama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Krimas peringkat negeri, di Padang Awam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), di sini.

Pada masa sama, Amirudin berkata, semua rakyat di negeri itu perlu mempunyai tanggungjawab untuk memastikan perpaduan yang dibina selama ini berkekalan.
“Kerana itu di era Malaysia Baru ini saya menganjurkan agar kita berusaha untuk menghayati konsep kenal mengenal ‘Li Taarafu’ antara satu sama lain yang sebut dalam Al-Quran.

“Ajakan untuk kita kenal-mengenal di antara satu sama lain dan untuk tetap kekal hidup aman damai juga dikongsi Pope Francis ketika beliau menyampaikan mesej Krismas 2016,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyifatkan sambutan Majlis Rumah Terbuka yang saban tahun diadakan di Negeri Selangor seperti ini sama ada bagi meraikan perayaan Tahun Baru Cina, Aidilfitri, Deepavali, dan Krismas menjadi budaya bagi rakyat Malaysia.

Katanya, konsep ‘Majlis Rumah Terbuka’ yang unik dan penuh warna-warni memang sudah tidak asing lagi bagi segenap lapisan masyarakat di negara kita.

“Kegembiraan melalui perayaan ini membolehkan rakyat dari kaum lain merasai kegembiraan tradisi pelbagai perayaan lain yang disambut di negara ini,” katanya.