Categories
SELANGOR

Hutan Paya Bakau Gedung Indah dahulu cantik sekarang menyedihkan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 DIS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang digesa bertindak tegas dan pantas terhadap pihak bertanggungjawab membuang sampah haram di hutan paya bakau berhampiran Taman Teluk Gedung Indah, Klang.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, keadaan ini bukan sahaja mencemarkan keindahan kawasan semula jadi itu, malah menimbulkan bau busuk sehingga mengganggu penduduk di kawasan terbabit.

“Dahulu hutan paya bakau ini sangat cantik tetapi sekarang keadaannya menyedihkan dan oleh kerana tiada tindakan menyebabkan mengeluarkan bau yang busuk,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Azmizam berharap, selain mengenakan denda yang tinggi tindakan tegas lain perlu dikenakan seperti merampas tanah terlibat.

Sementara itu, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han memberi jaminan akan memberi perhatian isu terbabit.

Bagaimanapun katanya, pihak PTD Klang perlu mematuhi prosedur tertentu dengan menyerahkan notis-notis diperlukan sebelum tindakan merampas tanah diambil.