Categories
SELANGOR

Tuah umpan roti kosong, ‘Abang Din’ laba RM10,000 & Motosikal

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 15 DIS: Hanya berumpankan roti kosong, Shamsuddin Arshad, 52, berjaya dinobatkan selaku juara dalam Pertandingan Memancing anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di Taman Tasik Shah Alam, di sini, hari ini.

Kemenangan itu disahkan juri pertandingan selepas beliau berjaya menaikkan ikan patin seberat 21.55 kilogram (kg) ketika tempoh masa berbaki lima minit, sekali gus menewaskan 245 peserta lain yang turut hadir memeriahkan pertandingan berkenaan.

Lebih manis, kejayaan itu mengakhiri penantiannya selama hampir 15 tahun sejak penganjuran sama diadakan pihak berkuasa tempatan terbabit.

Beliau yang dikenali dengan panggilan ‘Abang Din’ berkata, beliau bersyukur atas rezeki yang diberikan, bahkan tidak menjangka kejayaan itu terjadi pada dirinya sendiri.

“Lebih 50 penyertaan pertandingan memancing yang telah saya sertai dan kejayaan ini adalah kali pertama bagi saya. Sebelum ini pernah juga meraih naib juara. Alhamdulillah.

“Memancing sememangnya menjadi hobi saya, malahan sering menjalankan aktiviti santai ini bersama kawan-kawan kerana ia sesuatu yang menyeronokkan,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.

Kemenangan bermakna itu turut melayakkannya menerima hadiah berupa wang tunai RM10,000 berserta sebuah motosikal model Yamaha Y15ZR

Tempat kedua dan ketiga pula disandang oleh Ismail Mohammad yang membawa pulang RM10,000 dan Juraini (RM3,000) selepas masing-masing menaikkan patin seberat 18.07 kg serta 14.16 kg.

Terdahulu, penyampaian hadiah disempurnakan Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Petaling, Dato’ Emran Kadir; Pengarah Jabatan Landskap MBSA, Yunus Suri dan Ahli Majlis MBSA, Paparaidu Veraman

Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, pertandingan itu adalah platform MBSA untuk menggalakkan aktiviti rekreasi dalam kalangan masyarakat, khususnya warga Shah Alam.

Katanya, ia juga inisiatif untuk mempromosi Taman Tasik Shah Alam dan taman-taman awam yang lain, di sekitar kawasan berkenaan.