Categories
EKONOMI NASIONAL

Aliran masuk bersih meningkat, raih keyakinan pelabur

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Aliran masuk bersih dana asing ke dalam negara ini mencecah RM479.6 juta sehingga 24 Januari lalu, sekali gus mengatasi aliran minggu lalu sebanyak RM471.3 juta.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, institusi dana asing muncul pembeli bersih dengan mencatat RM293 juta berbanding RM417 juta, pada minggu sebelum ini.

Malah katanya, perkembangan positif itu menunjukkan saham Malaysia mencatat nilai lebih baik di tengah jangkaan kenaikan kadar faedah yang semakin reda, di Amerika Syarikat (AS).

“Minggu ini dimulakan dengan nada lebih suram ekoran kehadiran faktor seperti (data) ekonomi China bagi suku keempat 2018 yang kurang memberangsangkan, semakan semula unjuran pertumbuhan global oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), impak berterusan rundingan perdagangan antara Washington-Beijing serta kesan Brexit di United Kingdom yang menyebabkan ketidaktentuan di pasaran,” katanya kepada BERNAMA.

Mohd Afzanizam berkata, pada masa ini, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bergerak sekitar paras rintangan, pada 1,700 mata walaupun terbukti cuba melepasi tahap itu khususnya pada awal minggu ini.

“Bagi minggu depan, kami menjangkakan pasaran kekal suram berikutan perkembangan isu Brexit, rundingan dagangan Amerika Syarikat-China serta mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS pada 30 Januari yang akan dipantau secara teliti oleh pasaran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Inter Pacific Research Sdn Bhd, Pong Teng Siew berkata, pasaran negara sedang pesat membangun menyaksikan kemunculan semula minat pelabur antarabangsa selepas Rizab Persekutuan AS memutuskan untuk memperlahankan kenaikan kadar faedah.

Katanya, aliran dana ke dalam pasaran ekuiti Malaysia minggu ini juga berbeza apabila minat lebih ketara terhadap saham-sahan bermodal kecil dan sederhana berbanding saham mewah dan berkaitan indeks di pasaran negara lain rantau ini.

“Apa yang menghairankan, FBM KLCI mendapat kurang manfaat daripada pasaran serantau lain namun aliran masuk (dana) itu kekal menggalakkan dan mendorong peningkatan kaunter bermodal kecil dan sederhana,” katanya.

Malah, katanya, ketidaktentuan mengenai Brexit turut menyebabkan pelabur bertindak beralih ke pasaran negara sedang pesat membangun.

Seorang lagi penganalisis, Pensyarah Kanan dan Pengurus Pembangunan Perniagaan Fakulti Perniagaan Universiti Putra Malaysia, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, momentum Bursa Malaysia agak suram ekoran pendirian pelabur yang masih menunggu hasil rundingan perdagangan AS-China, pada akhir bulan ini.

“Harga minyak mentah kekal stabil sekitar US$60 setong manakala ringgit terus rendah kepada RM4.14 yang dapat membantu meningkatkan eksport.

“Malah, keputusan Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan kadar dasar semalaman pada 3.25 peratus turut membantu meredakan sentimen tidak menentu di pasaran,” katanya.

*Sumber: BERNAMA