Categories
SELANGOR

Bekalan air di Kuala Lumpur pulih berperingkat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 JAN: Bekalan air di beberapa kawasan, di Kuala Lumpur dan kawasan sekitar pulih secara berperingkat selepas kerja pembaikan kebocoran serius paip air mentah siap dilaksanakan dan loji kembali beroperasi.

Bagaimanapun, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) berkata, pihaknya akan terus mengerakkan bantuan bekalan air kecemasan melalui lori tangki air.

Katanya, Pusat Khidmat Setempat di parkir HKL, Jalan Tun Razak juga akan terus beroperasi sehingga bekalan pulih sepenuhnya.

“Kerjasama pelanggan sepanjang tempoh gangguan berjadual ini amatlah dihargai.

“Segala tindakan perlu sedang diambil bagi mempercepatkan pemulihan bekalan dan meminimumkan impak gangguan,” katanya.

Pengguna boleh merujuk laman sesawang www.syabas.com.my atau muat turun aplikasi telefon bimbit ‘Air Selangor’ bagi mendapatkan maklumat dan status terkini berkenaan bekalan air.