Categories
NASIONAL

JPA kenal pasti 841 penempatan untuk pekerja JLKN

PUTRAJAYA, 30 JAN: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenal pasti 841 penempatan untuk ditawarkan kepada pekerja Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) selepas Tahun Baharu Cina.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui kenyataan berkata, perkara itu dimaklumkan dalam pertemuan Timbalan Menterinya, Steven Sim Chee Keong bersama wakil Jawatankuasa Bekas Pelatih JLKN dan JPA.

Katanya, pertemuan itu bagi memaklumkan perkembangan terkini inisiatif ‘soft landing’ untuk pekerja kontrak JLKN terbabit.

“Bagi pemohon lain, JPA sedang melaksanakan ‘segala yang termampu’ untuk membantu mereka mengisi jawatan kosong di kementerian dan agensi kerajaan.

“Walaubagaimanapun, tawaran kontrak akan diberi mengikut kesesuaian dan kemahiran pemohon serta bergantung kepada kekosongan jawatan yang akan diisi,” katanya.

Justeru, KBS berharap pemohon dapat memberi ruang supaya proses penempatan semula itu dijalankan mengikut prosedur ditetapkan, memandangkan ia pertama kali dilaksanakan.

Sebelum ini, KBS dilaporkan berkata, nasib 2,100 kakitangan kontrak Program Latihan Khidmat Negara tetap terbela walaupun Kabinet memutuskan untuk memansuhkan program itu, sejak Ogos 2018.