Categories
SELANGOR

Kematian bekas calon AMK, penjenayah makin berani

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 JAN: Polis DiRaja Malaysia digesa memperketatkan kawalan keselamatan orang awam dengan membuat rondaan lebih kerap khususnya di kawasan sunyi atau perumahan.

Ahli Dewan Negeri Rawang, Chua Wei Kiat berkata, kejadian yang menimpa bekas calon Angkatan Muda KEADILAN (AMK), M Thiyahu, yang maut ditetak membuktikan penjenayah semakin berani walaupun waktu siang.

“Ini suatu tindakan jenayah yang sangat serius dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Ia membabitkan nyawa manusia.

“Bayangkan penjenayah pada hari ini sudah berani untuk melakukan jenayah pada siang hari dan di tempat awam tidak lagi malam dan tempat yang tersorok atau terpinggir, dari laluan orang ramai.

“Berapa lagi nyawa yang akan melayang di tangan penjenayah sebegini selepas ini?,” soalnya yang juga Setiausaha Pengelola AMK Malaysia, dalam kenyataan.

Sehubungan itu, beliau mahu polis mengambil tindakan tegas dan mengenakan hukuman setimpal kepada penjenayah yang terbabit dalam kes berkenaan.

Pada masa sama, Wei Kiat menzahirkan rasa dukacita dalam kejadian yang berlaku.

“Kami daripada pihak KEADILAN dan AMK ingin merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa. Kami turut bersedih dengan kehilangan,” katanya.

Terdahulu, mendiang maut ditetak dengan parang di sebuah flet di Jalan Plumbum, di sini dan dikatakan mengalami kecederaan parah di muka, kepala, tangan serta kaki.