Categories
SELANGOR YB ACTIVITIES

Konvoi motosikal klasik imbau nostalgia Perang Dunia Kedua

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BAGAN LALANG, 4 JAN: Konvoi ‘1st Malaysian Vintage and Classic Military Bike Day’ yang berlangsung di Pantai Bagan Lalang, di sini, baru-baru ini, berjaya menghimpunkan 67 motosikal yang digunakan ketika era penjajahan British ke atas Tanah Melayu.

Selain motosikal berkenaan, dua kenderaan pacuan empat roda model Jeep Landrover turut dihimpunkan dalam acara julung kali diadakan itu.

Ahli Dewan Negeri Tanjong Sepat, Borhan Aman Shah berkata, acara itu menjadi satu titik tolak baharu bagi mengimbau kenangan dan sejarah negara, pada zaman Perang Dunia Kedua.

Katanya, antara jenama motosikal yang dihimpunkan adalah BSA, Ariel, Triumph, Norton, Royal Enfield, Vespa dan Lambretta serta tiga basikal jenama Philips, MKV juga Mercury 1949.

“Peserta konvoi berkumpul seawal jam 9.30 pagi bagi melakukan aktiviti jelajah desa dan jelajah amal ke beberapa kampung. Saya mengetuai jelajah desa ke kampung pertama iaitu Kampung Bukit Bangkong serta menunggang motosikal BSA berwarna merah.

“Sepanjang perjalanan dari Pantai Bagan Lalang menuju ke Kampung Bukit Bangkong, peserta diiringi anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang bagi memudahkan perjalanan dan keselamatan pengguna jalan raya.

“Peserta turut dibawa menyelusuri dan menikmati suasana pagi kampung dengan kelajuan sekitar 50 hingga 60 kilometer sahaja bagi menghilangkan penat selepas menempuh perjalanan begitu mencabar,” katanya.

Borhan yang juga penaung program itu berkata, kebanyakan penduduk kampung teruja dengan kehadiran konvoi selain mengambil peluang beramah mesra dan mengabadikan gambar sebagai kenangan.

“Peserta turut mengadakan jelajah amal ke rumah salah seorang ahli motosikal klasik di Kampung Kundang dan menyampaikan sumbangan peribadi bagi mengurangkan bebanan ditanggung serta mempermudahkan urusan perubatan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, program seumpama itu bakal dijadikan sebagai acara tahunan dan memilih Pantai Batu Laut untuk destinasi seterusnya.

Katanya, acara itu dijangka mampu menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke kawasan pelancongan yang terdapat, di Selangor.

“Aktiviti bermotosikal ini bukan sekadar aktiviti sosial, malahan ia aktiviti sangat baik untuk dijadikan acara tahunan kerana pengisiannya terdapat pelbagai aktiviti sihat dan seperti jelajah desa dengan menyelusuri Kampung Bukit Bangkong serta dapat melakukan jelajah amal.

“Ia juga mempunyai nilai tersendiri kerana kita bukan hanya bersosial tetapi menerapkan satu elemen murni dengan melakukan ziarah amal kepada mereka yang memerlukan,” katanya.