Categories
SELANGOR

KSSB laksana CSR bantu pelajar Orang Asal

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 12 JAN: Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) mengorak langkah memperkasa program tanggungjawab sosial korporat (CSR) apabila menyantuni masyarakat Orang Asal dengan memberi persalinan baju seragam sekolah, baru-baru ini.

Pengurus Kanan Perhubungan Awam dan Hal Ehwal Korporatnya, Abdul Wahab Nordin berkata, sumbangan itu bertujuan meringankan beban ibu bapa pelajar berkenaan dalam membuat persediaan kemasukan sesi persekolahan 2019.

“Program CSR ini dilaksanakan di beberapa kawasan kampung masyarakat Orang Asal yang berhampiran dengan tapak operasi KSSB, di negeri ini.

“KSSB sentiasa berusaha bertanggungjawab dalam mengimbangi pertumbuhan perniagaan dan pembentukan nilai masyarakat di mana sahaja kami beroperasi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pelaksanaan program CSR turut merangsang sosioekonomi berterusan dengan memberi penekanan terhadap aspek pendidikan, pembangunan masyarakat dan alam sekitar.

“Ia selaras hasrat Kerajaan Negeri supaya tidak meminggirkan masyarakat Orang Asal, terutama di negeri ini,” katanya

Terdahulu, seramai 227 pelajar menerima sumbangan itu membabitkan kawasan Kampung Orang Asal Bukit Tadom (102), Kampung Orang Asal Bukit Serdang (34), Kampung Orang Asal Sungai Garing (enam) dan Kampung Orang Asal Pulau Kempas (85).