Categories
NASIONAL

Lebih 300 nelayan terima manfaat Skim Insurans LKIM

KUALA PERLIS, 12 JAN: Seramai 353 nelayan di seluruh negara menerima manfaat Skim Insurans Nelayan Berkelompok Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berjumlah RM1.52 juta, sehingga Ogos tahun lalu.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, nelayan yang berdaftar dengan LKIM di bawah Program Elaun Sara Hidup (ESHN) berumur 18 hingga 75 tahun sahaja layak menyertai skim itu.

Sehingga kini, seramai 52,399 nelayan mendaftar di bawah skim perlindungan itu dengan hanya membayar premium RM100 setahun.

Terdahulu, beliau ditemui semasa menziarahi keluarga pasangan nelayan Allahyarham Mohamad Zaini Panjang Karim dan isterinya, Allahyarhamah Azizah Yatim yang dipercayai mati lemas setelah terjatuh ke dalam laut, semasa memukat ikan di perairan Kuala Perlis, pada 5 Januari lalu.

Dalam kunjungan itu, Muhammad Faiz menyampaikan cek Skim Perlindungan dan Kebajikan Nelayan bernilai RM10,000 kepada anak kedua daripada tiga orang anak pasangan itu, Mohamad Noor Affandy, 25.

*Sumber: BERNAMA