Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Lebih 60% pelajar keluarga B40 sah terima tawaran MRSM

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Seramai 6,606 pelajar mengesahkan penerimaan tawaran kemasukan ke tingkatan satu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dengan 68 peratus atau 4,492 orang adalah daripada keluarga berpendapatan rendah B40.

Bagi tingkatan empat pula, sehingga kini seramai 1,522 pelajar menerima tawaran itu dengan 978 pelajar atau 64 peratus adalah daripada keluarga B40.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kuota maksimum kemasukan ke MRSM adalah 7,760 bagi tingkatan satu dan 2,245 tempat bagi tingkatan empat dengan pendaftaran masuk akan diadakan, pada 14 Januari ini.

Katanya, jumlah pelajar daripada keluarga B40 meningkat sebanyak 26 peratus berbanding tahun lalu, sekali gus membuktikan komitmen kementerian terhadap pendidikan rakyat.

“Pada pengambilan tahun 2018, jumlah pelajar daripada keluarga B40 sebanyak 44 peratus, M40 (golongan pertengahan) 28 peratus dan T20 (berpendapatan tinggi) 28 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor BERNAMA.

Rina berkata, pihak kementerian dan MARA memahami masalah dihadapi pelajar daripada keluarga miskin tegar yang terpaksa menolak tawaran ke MRSM ekoran kekangan kewangan.

“Sejajar dengan polisi kementerian dalam memberi keutamaan kepada pelajar yang benar-benar memerlukan bantuan, maka program bantuan khas yang dikenali sebagai BUDI akan diperluaskan,” katanya.

Bagi sesi pengambilan 2019, MARA menyasarkan 500 pelajar untuk program BUDi di seluruh negara dan bantuan yang diberikan termasuk kewangan, keperluan asas persekolahan sertaktiviti pembelajaran yang dibiayai oleh MARA atau penaja.

Rina turut memaklumkan, penerusan dasar pengambilan 10 peratus pelajar bukan Bumiputera bagi setiap MRSM turut memberi keutamaan kepada pelajar daripada golongan B40.

“Setakat ini, seramai 538 pelajar bukan Bumiputera sudah mengesahkan penerimaan tawaran dan pendekatan ini akan mengukuhkan pelaksanaan integrasi nasional dalam sistem pendidikan MARA, di samping mewujudkan persaingan sihat, dalam kalangan pelajar,” tambahnya.

Keputusan kemasukan pelajar ke MRSM bagi tingkatan satu dan empat sudah diumumkan secara dalam talian, pada 21 dan 28 Disember lalu.