Categories
SELANGOR

Mendiang Thiyahu komited bantu masyarakat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 JAN: Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang bekas calon Angkatan Muda KEADILAN Shah Alam, Thiyahu Marimuthoo yang meninggal dunia ekoran ditetak, petang semalam.

Menerusi cicipan di twitter, beliau mengakui mengenali Thiyahu secara peribadi dan menyifatkan mendiang seorang pemuda yang sopan serta sering membantu golongan memerlukan.

“Harap polis dapat berkas suspek yang terbabit dalam pembunuhan kejam ini. Saya kenal mendiang secara peribadi. Seorang yang baik dan berbudi pekerti mulia serta komited membantu masyarakat di sekitar pangsapuri Nilam Sari.

“Beliau adalah anggota KEADILAN yang berdedikasi dan bersama saya untuk cawangan Shah Alam semasa pemilihan parti, baru-baru ini.

“Semoga keluarga tetap kuat dalam menghadapi masa yang sukar ini. Keadilan untuk Thiyahu,” katanya.

Thiyahu, 30, disahkan meninggal dunia pada jam 6.30 petang semasa menerima rawatan di Wad Kecemasan Zon Merah Hospital Shah Alam ekoran cedera parah di bahagian muka, belakang kepala, tangan kanan dan kedua-dua kaki.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib dalam kenyataan mengesahkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Bunuh) dan sedang memburu suspek terbabit.